CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, July 5, 2008

Dua Alam

Takkala membaca tajuknya pasti terpapar di benak fikiran pembaca skalian akan ciptaan tuhan yang di namakan katak. Di tambah pula dengan paparan gambar yang disertakan oleh penulis. Ini adalah kerana di antara ribuan makhluk dua alam yang paling "famous" adalah sang katak. Menyelami lebih dalam lagi kebesaran ciptaan Allah taala ini yang mempunyai keboleh upayaan untuk duduk di dua alam.

Yakni "daratan" dan "Lautan" (kawasan berair). Makhluk(dua alam) istimewa ciptaan ini mejangkaui pemikiran manusia mengenai kemampuan dan keupayaannya. Mampu hidup dengan tenang di kedua-dua alam ini. Kelebihan juga bagi makhluk-makhluk ini untuk mendapatkan sumber makanan dari mana-mana alam pun. Walaupun makhluk-makhluk ini mudah untuk dikenali, namun keupayaan berada di kedua-dua alam ini juga menjadikan makhluk ini selamat dari ancaman pemangsanya.

Ianya amat berbeza dengan makhluk dua alam yang berspesiskan "Manusia". "Makhluk" ini yang juga mempunyai keupayaan seperti makhluk-makhluk dua alam yang berspesiskan mamalia, namun mereka ini lebih bahaya. bijak mengambil kesempatan di mana jua. Mampu berubah, menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan skali pun demi kepentingan diri, perut, dan keuntungan peribadi..Yang lebih bahaya mereka ini amat sukar untuk di bezakan rupanya.. Berkeupayaan berubah menjadi kawan @ lawan dalam sekelip mata.. Bijak bermain kata-kata n merubah mimik muka...

Walaupun mungkin dikalangan segelintir pembaca merasakan lebih sesuai untuk mereka di gambarkan sinonim dengan sumpah-sumpah @ makhluk yang sama waktu dengannya, namun penulis lebih memilih untuk mengambarkan mereka sebagai makhluk dua alam kerana ianya lebih jelas menggambarkan sikap mereka ini. Duduk di dua alam, dua kelompok @ dua entiti yang berbeza tapi berpura-pura menyokong dan mendokong kedua-duanya yang jelas berbeza agenda dan idealismenya.

Dan ketahuilah bahawa mereka inilah yang dijanjikan akan seksaan yang amat berat lagi berat kerana sesungguhnya mereka inilah "SPESIS" yang dalam madah agama dan perjuangan mereka di gelar sebagai golongan "MUNAFIQ"...
NAUZUBILLAHHIMINZALIK...

Nabi Muhammad saw

Semasa umat manusia dalam kegelapan dan suasana jahiliyyah, lahirlah seorang bayi pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun Gajah bersamaan 571 Masehi di Makkah. Bayi yang dilahirkan bakal membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban manusia. Bapa bayi tersebut bernama Abdullah bin Abdul Mutallib yang telah wafat sebelum baginda dilahirkan iaitu sewaktu baginda 7 bulan dalam kandungan ibu. Abdullah dalam perjalanan pulang dari Syam (Syiria) kerana berniaga. Di tengah-tengah perjalanan pulang ke Mekah maka sakitlah dia hingga wafat di Madinah. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Kehadiran bayi itu disambut dengan penuh kasih sayang dan dibawa ke ka'abah, kemudian diberikan nama Muhammad, nama yang belum pernah wujud sebelumnya. Sebelum nabi dilahirkan, ibunya sudah mendapat alamat tentang akan lahirnya.

Selepas itu Muhammad disusukan selama beberapa hari oleh Thuwaibah, budak suruhan Abu Lahab sementara menunggu kedatangan wanita dari Banu Sa'ad. Adat menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan Arab di Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu Sa'ad yang bernama Halimah bin Abi-Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu menerima baginda kerana Muhammad seorang anak yatim. Namun begitu, Halimah membawa pulang juga Muhammad ke pedalaman dengan harapan Tuhan akan memberkati keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad sebagai anak susuan, kambing ternakan dan susu kambing-kambing tersebut semakin bertambah. Baginda telah tinggal selama 2 tahun di Sahara dan sesudah itu Halimah membawa baginda kembali kepada Aminah dan membawa pulang semula ke pedalaman.

Dalam tahun lahirnya nabi, gabenor Abbessinia yang memerintah Yaman yang beragama Nasrani membuat sebuah gereja di ibu kota San'a. Gereja itu dibuat sebaiknya dan sebesarnya kerana maksudnya gereja itu akan dijadikan balai pertemuan negeri dan agama, untuk mengganti Ka'abah yang ada di kota Mekah. Abrahah, panglima perangnya menuju kota Mekah beserta pasukan gajahnya untuk menghancurkan Ka'abah. Di luar kota, Abrahah berhenti dan memberitahu pada penduduk kota Mekah tentang kedatangannya.

Selama berhenti perajurit-perajuritnya merampas beberapa ekor unta kepunyaan Abdul Muthalib. Abdul Muthalib lantas pergi menemui Abrahah untuk meminta kembali untanya. Abrahah hairan dengan kedatangan Abdul Muthalib, diduganya kedatangan beliau pasti untuk meminta agar Ka'abah tidak dirosakkan. Abrahah berkata: " Kamu hanya sayangkan unta kamu tetapi tidak mempedulikan Ka'abahmu. Saya datang ke mari untuk membinasakannya. "

Jawab Abdul Muthalib: " Saya memikirkan untaku kerana saya tuannya. Tentang Ka'bah, biarlah tuannya sendiri yang akan melindunginya. "

Orang-orang Quraisy kerana tidak berdaya melawan Abrahah maka mereka beredar ke pergunungan di luar kota. Abdul Muthalib sebelum meninggalkan kota ia memegang kelambu Ka'abah sambil berdoa: " Ya Allah, ini rumah tuan. Kami merasa lemah untuk melindunginya. Sudilah kiranya tuan melimpahkan perhatian dan perlindungan padanya. "

Penyakit cacar menjalar di kalangan tentera Abrahah dan merosakkan pasukannya. Kerana hebatnya penyakit itu, akibatnya mereka banyak mati dan yang hidup lari tunggang langgang hingga tidak menghiraukan lagi mayat kawannya.

Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad

Pada usia dua tahun, baginda didatangi oleh dua orang malaikat yang muncul sebagai lelaki yang berpakaian putih. Mereka bertanggungjawab untuk membedah Muhammad. Pada ketika itu, Halimah dan suaminya tidak menyedari akan kejadian tersebut. Hanya anak mereka yang sebaya menyaksikan kedatangan kedua malaikat tersebut lalu mengkhabarkan kepada Halimah. Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad, namun tiada kesan yang aneh ditemui.

Muhammad tinggal di pedalaman bersama keluarga Halimah selama lima tahun. Selama itu baginda mendapat kasih sayang, kebebasan jiwa dan penjagaan yang baik daripada Halimah dan keluarganya. Selepas itu baginda dibawa pulang kepada datuknya Abdul Mutallib di Makkah.

Datuk baginda, Abdul Mutallib amat menyayangi baginda. Ketika Aminah membawa anaknya itu ke Madinah untuk bertemu dengan saudara-maranya, mereka ditemani oleh Ummu Aiman, budak suruhan perempuan yang ditinggalkan oleh bapa baginda. Baginda ditunjukkan tempat wafatnya Abdullah serta tempat dia dikuburkan.

Sesudah sebulan mereka berada di Madinah, Aminah pun bersiap sedia untuk pulang semula ke Makkah. Dia dan rombongannya kembali ke Makkah menaiki dua ekor unta yang memang dibawa dari Makkah semasa mereka datang dahulu. Namun begitu, ketika mereka sampai di Abwa, ibunya pula jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia lalu dikuburkan di situ juga. Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh Ummu Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai seorang anak yatim piatu ketika umurnya baru 6 tahun. Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.

"Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia memberikan petunjuk" (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7)

Abdul Mutallib Wafat

Kegembiraannya bersama datuk baginda tidak bertahan lama. Ketika baginda berusia 8 tahun, datuk baginda pula meninggal dunia. Kematian Abdul Mutallib menjadi satu kehilangan besar buat Bani Hashim. Dia mempunyai keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang bernas, terhormat dan berpengaruh dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan makanan dan minuman kepada para tetamu yang berziarah dan membantu penduduk Makkah yang dalam kesusahan.

Muhammad diasuh oleh Abu Talib

Selepas kewafatan datuk baginda, Abu Talib mengambil alih tugas bapanya untuk menjaga anak saudaranya Muhammad. Walaupun Abu Talib kurang mampu berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai perasaan yang paling halus dan terhormat di kalangan orang-orang Quraisy. Abu Talib menyayangi Muhammad seperti dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Dia juga tertarik dengan budi pekerti Muhammad yang mulia.

Pada suatu hari, ketika mereka berkunjung ke Syam untuk berdagang sewaktu Muhammad berusia 12 tahun, mereka bertemu dengan seorang rahib Kristian bernama Buhaira yang telah dapat melihat tanda-tanda kenabian pada baginda. Lalu rahib tersebut menasihati Abu Talib supaya tidak pergi jauh ke daerah Syam kerana dikhuatiri orang-orang Yahudi akan menyakiti baginda sekiranya diketahui tanda-tanda tersebut. Abu Talib mengikut nasihat rahib tersebut dan dia tidak banyak membawa harta dari perjalanan tersebut. Dia pulang segera ke Makkah dan mengasuh anak-anaknya yang ramai. Muhammad juga telah menjadi sebahagian dari keluarganya. Baginda mengikut mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar sajak-sajak oleh penyair-penyair terkenal dan pidato-pidato oleh penduduk Yahudi yang anti Arab.

Baginda juga diberi tugas sebagai pengembala kambing. Baginda mengembala kambing keluarganya dan kambing penduduk Makkah. Baginda selalu berfikir dan merenung tentang kejadian alam semasa menjalankan tugasnya. Oleh sebab itu baginda jauh dari segala pemikiran manusia nafsu manusia duniawi. Baginda terhindar daripada perbuatan yang sia-sia, sesuai dengan gelaran yang diberikan iaitu "Al-Amin".

Nabi beristeri

Selepas baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa saudaranya untuk membawa barang dagangan Khadijah binti Khuwailid, seorang peniaga yang kaya dan dihormati. Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh ikhlas dan jujur. Khadijah amat tertarik dengan perwatakan mulia baginda dan keupayaan baginda sebagai seorang pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya untuk berkahwin dengan Muhammad yang berusia 25 tahun ketika itu. Wanita bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat gembira apabila Muhammad menerima lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan mereka berdua. Bermulalah lembaran baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah sebagai suami isteri.

Dari Siti Khadijah, Nabi mendapat 2 orang putera dan 4 orang puteri yakni;

Qosim - wafat pada umur 2 tahun.

Zainab - bersuamikan Abul 'As.

Ruqayyah - bersuamikan Saiyidina Othman r.a . Ruqayyah meninggal pada waktu kemenangan dalam perang Badar.

Ummi Kalthum - bersuamikan Saiyyidina Othman r.a selepas Ruqayyah wafat.

Fatimah - bersuamikan Saiyyidina Ali r.a iaitu sepupu nabi.

Abdullah - wafat sewaktu erat menyusu.

Semua puteri Nabi wafat mendahului Nabi kecuali Fatimah yang wafat 6 bulan selepas Nabi wafat.

Penurunan Wahyu Pertama

Pada usia 40 tahun, Muhammad telah menerima wahyu yang pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu, baginda berada di Gua Hira' dan sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan nasib umat manusia pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan menyuruhnya membaca ayat quran yang pertama diturunkan kepada Muhammad.

"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan" (Al-'Alaq, 96: 1)

"Bacalah," perintah Jibril.

"Saya tidak dapat membaca." jawab Nabi.

Jibril menarik Nabi padanya serta diminta membaca. 3 kali permintaan itu diulanginya, 3 kali pula Nabi menjawab bahawa beliau tidak tahu membaca. Oleh kerana itu adalah perintah-perintah Allah S.W.T diucapkan oleh Jibril maka usaha Nabi untuk membaca akan berhasil juga apabila dilakukan dengan nama Allah.

Kejadian ini berlaku pada suatu malam di bulan Ramadhan bersamaan 611 masehi. Rasulullah pulang dengan penuh rasa gementar lalu diselimuti oleh Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila semangat baginda mulai pulih, diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang telah berlaku. Siti Khadijah mempunyai seorang sepupu yang bernama Waraqah bin Naufal. Kerana tidak puas hati dengan agama menyembah berhala maka beralihlah waraqah ke agama Nasrani. Akan tetapi hatinya yang terlalu inginkan kebenaran tidak puas juga dengan ajaran agama itu. Setelah Waraqah mendengar wahyu yang diterima oleh Nabi tersebut dan cara bagaimana Nabi menerimanya, maka berkatalah ia: " Itulah malaikat yang diutuskan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s. Saya berharap kelak saya masih hidup bilamana kelak engkau diasingkan oleh bangsamu."

Nabi bertanya, apakah nanti akan diperlakukan sedemikian oleh sanak saudara dan handai taulannya. Jawab Waraqah: " Demikianlah semua nabi diperlakukan." Selang tidak lama kemudian wafatlah Waraqah bin Naufal. Dan kerana pengakuannya atas kenabian Muhammad dianggap dia sebagai sahabat Nabi juga. Lama sesudah Nabi menerima wahyu yang pertama itu, malaikat Jibril tidak datang kembali. Tetapi ini kebetulan sekali sebab kesehatan Nabi tidak mengizinkan kerana kedatangan malaikat Jibril itu, sebagaimana yang sudah diceritakan di muka tadi dalam hal-hal yang memayahkn Nabi.

Juga sesudah Nabi berulang-ulang menerima wahyu, kedatangan malaikat masih sahaja menyebabkan Nabi mandi peluh dan tubuh beliau menjadi berat. Pernah kejadian Nabi menerima wahyu sedang Nabi berada di tengah-tengah sahabatnya. Kebetulan peha Nabi bertumpang di lutut salah seorang sahabatnya yang duduk di samping beliau. Sementara Malaikat Jibril datang peha beliau menjadi berat, sehingga sahabat itu mengira bahawa ia tak akan kuat lagi menahannya.

Kemudian baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum kerabatnya untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah yang menyembah berhala. Khadijah isterinya adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan ajaran baginda. Dakwah yang sedemikian berlangsung selama tiga tahun di kalangan keluarganya sahaja.

Dakwah Secara Terang-terangan

Setelah turunnya wahyu memerintahkan baginda untuk berdakwah secara terang-terangan, maka Rasulullah pun mula menyebarkan ajaran Islam secara lebih meluas.

"Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik." (Al-Hijr, 15:94)

Namun begitu, penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi baginda dan para pengikut baginda termasuk Abu Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya. Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:

"Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan diletakkan di tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini, aku tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala penjuru atau aku binasa kerananya"

Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja yang menerima tentangan yang sedemikian, malah para sahabatnya juga turut merasai penderitaan tersebut seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima siksaan yang berat.

Kewafatan Khadijah dan Abu Talib

Rasulullah amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika itu terutama kaum Quraisy kerana baginda tahu akan akibat yang akan diterima oleh mereka nanti. Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya wafat pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah jemu membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta hartanya untuk Islam. Dia juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di saat baginda dirundung kesedihan.

Pada tahun itu juga bapa saudara baginda Abu Talib yang mengasuhnya sejak kecil juga meninggal dunia. Maka bertambahlah kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan orang-orang yang amat disayangi oleh baginda.

Nabi Zulkifli a.s

Nabi Zulkifli A.S. adalah salah seorang nabi Allah. Di dalam al-Quran ada disebutkan tentang baginda dalam dua petikan ayat yang bermaksud:

"Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Zulkifli. Semua mereka termasuk orang-orang yang sabar. Kami telah memasukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang soleh" (Al-Anbiyaa', 21: 85-86)

"Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa' dan Zulkifli. Semuanya termasuk orang-orang yang paling baik" (Shaad, 38: 48)

Baginda yang dikenali sebagai Ezekiel dalam Injil ini telah dibawa ke Babylon selepas kemusnahan Jurusalem. Baginda dirantai dan dipenjarakan. Baginda menghadapi segala kepayahan dengan sabar dan mencela perbuatan mungkar Bani Israel.

Ibn Jarir telah meriwayatkan satu peristiwa yang memberi cahaya kepada hidup baginda. Apabila Al-Yasa A.S. meningkat tua, dan ingin memberikan tugas untuk memimpin bangsa Israel kepada yang sesuai. Baginda mengumumkan: Hanya orang tersebut akan dipertimbangkan untuk menggantikan baginda dan yang berpuasa pada siang hari, mengingati Allah pada malam hari dan menahan diri daripada sifat marah. Salah seorang daripada mereka berdiri dan berkata: Aku akan patuh kepada syarat-syarat tersebut. Baginda mengulangi syarat-syarat itu semula sebanyak tiga kali dan lelaki yang sama berjanji dengan bersungguh-sungguh akan memenuhi syarat-syarat tersebut. Maka dia dilantik untuk membawa tugas tersebut.

Selepas beberapa lama, dia telah diberi ujian. Suatu hari, syaitan dalam jelmaan lelaki tua mengetuk pintu rumahnya. Lelaki tua itu dibenarkan masuk dan membuat aduan tentang kekejaman orang ramai terhadap dirinya. Dia menyuruh lelaki tersebut datang semula pada waktu petang dan berjanji akan membetulkan kesilapan tersebut. Lelaki tua itu berjanji tetapi tidak kembali semula pada waktu yang ditetapkan.

Keesokan harinya lelaki tua itu datang semula dan mengadu seperti hari sebelumnya. Maka disuruhnya lelaki tersebut datang pada sebelah petang. Lelaki itu berjanji dengan bersungguh-sungguh untuk datang semula tetapi tetap memungkirinya. Pada hari yang ketiga, lelaki tua itu datang semula mengetuk pintu rumahnya sekali lagi.Pada kali ini, pintu tidak lagi dibuka. Maka syaitan tersebut menyelinap ke dalam bilik dan menunjukkan dirinya kepada lelaki itu. Dia sangat terkejut melihat jelmaan syaitan tersebut lalu menyoalnya. Lalu dia mendapati lelaki tua itu adalah syaitan yang cuba membuatnya marah namun syaitan itu gagal. Akhirnya lelaki tersebut dikenali sebagai Zulkifli kerana berjaya menunaikan janjinya dengan Nabi Al-Yasa' A.S. Dia berjaya menahan marahnya walaupun dikacau oleh syaitan tadi. Tidak lama selepas itu, dia angkat sebagai nabi.

Baginda memerintahkan kaum Israel untuk berperang dengan sesiapa yang melakukan kerosakan di bumi dan menentang agama Allah. Para pengikutnya enggan menurut perintah kerana mereka takut mati. Sebagai balasan, kebanyakan mereka akhirnya ditimpa dengan malapetaka. Sejenis wabak telah menular dan menyebabkan kematian yang menyedihkan. Mereka lantas lari meninggalkan tempat tersebut untuk menyelamatkan diri. Tiada siapa yang tinggal untuk mengebumikan mayat penduduk yang mati.

Mayat-mayat membusuk di bawah sinaran cahaya matahari. Nabi Zulkifli A.S. keluar dari tempat persembunyian selepas tujuh hari. Baginda diselubungi kesedihan melihat keadaan yang dasyat yang dialami pengikutnya dan merayu : "Ya Allah! Engkau telah membinasakan pengikutku. Kasihanilah mereka dan kurniakanlah kehidupan baru kepada mereka". Allah telah memakbulkan doa nabi, maka diberikan kembali kehidupan kepada mereka.

"Setelah itu Kami bangkitkan kamu sesudah mati, supaya kamu bersyukur" (Al-Baqarah, 2: 56)

Selepas itu, Nabi Zulkifli A.S. meninggalkan pengikutnya dan berhijrah ke Babylon dan wafat di sana.

Nabi Musa dan Harun a.s

Nabi Musa A.S. dan keluarganya menetap di Mesir. Mereka dikenali sebagai Israel. Akhirnya bilangan mereka semakin bertambah dan mencapai kekuasaan yang kukuh. Kaum Israel tidak bergaul dengan penduduk asal yang lain. Mereka tinggal terasing dan dianggap sebagai bangsa asing di Mesir.

Tindakan Kejam Firaun Terhadap Kaum Israel

Pada waktu itu, Mesir diperintah oleh Raja Firaun. Dia sangat sombong, zalim dan berkuasa. Dia rasa dia adalah Tuhan. Rakyat hidup dalam kesedihan semasa pemerintahannya. Mereka dikerah untuk bekerja seperti hamba. Mereka dirantai dan dipukul dengan cemeti jika membantah. Kaum Israel dipandang rendah dalam masyarakat dan hidup dalam keadaan melarat serta miskin. Sesetengah daripada mereka hidup lemah dan mati kebuluran.

Apabila Firaun mengetahui jumlah penduduk Israel bertambah, dia berasa sangat risau lalu diapun membincangkan topik itu dengan para penasihatnya. Mereka mengambil keputusan untuk menghapuskan kaum tersebut kerana tidak mahu mereka berkuasa di Mesir. Maka mereka merancang untuk menindas dan menganiayai kaum Israel dengan pelbagai cara. Firaun memerintahkan supaya anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh keluarga bangsa Israel, mestilah dibunuh. Tindakan yang zalim oleh Firaun ini diterangkan dalam ayat al-Quran:

"Kami membacakan kepadamu sebahagian daripada kisah Musa dan Firaun dengan benar untuk orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah, dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan. Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)." (Al-Qasas, 28: 3-5)

Apabila rakyat mendengar arahan yang kejam itu, mereka semua berasa sangat terkejut. Para tentera mula mematuhi arahan raja. Apabila mereka mendengar sahaja terdapat kelahiran anak lelaki, mereka akan meragut dari tangan ibunya. Mereka tidak menghiraukan tangisan ibu tersebut dan membuang bayi tersebut ke dalam sungai tanpa rasa kasihan. Perbuatan itu amat tidak berperikemanusiaan tetapi tidak ada seorang pun membantah perintah Firaun kerana semua rakyat takutkannya. Banyak bayi yang tak bersalah dibunuh dan diratapi oleh ahli keluarga yang malang. Ibu Musa telah mengandungkan Harun A.S. dalam tahun sebelum arahan pembunuhan dibuat. Jadi dia telah melahirkan bayi tersebut dengan selamat.

Nabi Musa A.S. Dihanyutkan Dalam Sungai

Ibu Nabi Musa A.S. adalah wanita berketurunan Israel. Pada zaman perintah bunuh dibuat, ibunya telah melahirkan baginda secara rahsia. Baginda sangat comel semasa baginda masih bayi. Ibunya berasa sangat risau, suatu hari nanti tentera Firaun pasti akan membuang bayinya ke dalam sungai. Allah telah mengilhamkan kepadanya supaya dia bersabar dan tidak takut. Dia dimaklumkan bahawa anaknya akan menjadi seorang nabi. Bayi tersebut diberi nama Musa. Dia menjaganya selama beberapa bulan sehingga dia berasa tidak dapat menyembunyikannya lagi. Lalu Allah telah memberi petunjuk kepadanya.

"Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; "Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang)dari para rasul."" (Al-Qasas, 28: 7)

Petunjuk yang sama diterangkan dalam ayat berikut yang bermaksud:

"yaitu ketika Kami mengilhamkan kepada ibumu suatu yang diilhamkan, Yaitu: "Letakkanlah ia (Musa) di dalam peti, kemudian lemparkanlah ia ke sungai (Nil), maka pasti sungai itu membawanya ke tepi, supaya diambil oleh (Firaun) musuh-Ku dan musuhnya. Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dari-Ku; dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasan-Ku."" (Thaaha, 20: 38-39)

Apabila Nabi Musa A.S. mencapai umur beberapa bulan, bagindapun dihanyutkan dalam sebuah peti melalui sungai Nil semasa hari masih gelap. Kakaknya berusaha mengikut peti tersebut menyusur sungai yang tenang manakala ibunya pulang dalam keadaan menangis kerana tidak dapat menahan kesedihan. Kakaknya Nabi Musa A.S. bersembunyi dari satu tempat ke satu tempat sepanjang sungai. Peti tersebut akhirnya sampai di satu kawasan tebing sungai yang dijadikan tempat mencuci pakaian oleh beberapa orang penduduk. Mereka mencapai peti yang terapung itu lantas membukanya. Mereka amat terkejut apabila mendapati seorang bayi di dalamnya.

Nabi Musa A.S. Membesar Di istana Firaun

Penduduk yang menjumpai kotak tersebut membawanya kepada Firaun dan keluarganya. Tanpa disedari, kakak kepada Firaun turut bersama-sama mereka. Isteri Firaun telah sangat menyukai bayi yang ditemui dan bercadang untuk sebagai anak angkatnya.

"Dan berkatalah isteri Firaun:"(ia) adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan ia bermanfaat kepada kita atau kita ambil ia menjadi anak", sedangkan mereka tiada menyedari ." (Al-Qasas, 28: 9)

Nabi Musa A.S. mula berasa lapar dan menangis. Bayi tersebut cuba disusukan oleh beberapa orang wanita tetapi gagal. Kakak nabi yang berada di situ berkata: "Bolehkan saya membawa seorang wanita yang dapat menyusukannya". Lalu dia diarahkan untuk berbuat demikian dengan segera. Dia berlari ke rumah dan menerangkan kepada ibunya tentang kejadian yang telah berlaku. Dia meminta ibunya pergi ke rumah Firaun bersama-samanya. Lalu sampailah mereka di sana dan Nabi Musa A.S. dapat minum dengan sepuas-puasnya.

Isteri Nabi Musa A.S. meminta supaya ibunya dapat tinggal di sana untuk menjaga bayi yang baru dijumpai tersebut.

"Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berduka cita dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (Al-Qasas, 28: 13)

Nabi Musa A.S. membesar seperti seorang putera. Baginda mempelajari tentang cara hidup Firaun yang tidak baik dan kezalimannya ke atas bangsa Israel. Walaupun pada zahirnya baginda hidup dalam serba kemewahan, namun baginda begitu tersiksa jiwanya hidup bersama Firaun.

Seorang lelaki Mesir dibunuh Firaun

Pada suatu hari, baginda melihat seorang lelaki Israel bergaduh dengan seorang suruhan raja. Baginda muncul dalam kejadian itu dan cuba meleraikan pergaduhan mereka. Namun begitu, lelaki suruhan raja yang berketurunan Mesir itu, tidak mahu berganjak walaupun diminta beberapa kali. Lalu baginda memukul belakangnya dengan kayu. Lelaki tersebut berasa pening dan jatuh ke bumi. Nabi Musa A.S. dan sahabat-sahabatnya mara ke hadapan untuk menyokongnya namun lelaki itu sudah lemah seperti kain buruk. Tidak lama selepas itu, dia pun meninggal dunia.

Nabi Musa A.S. Berasa Menyesal

Nabi Musa A.S. berasa sangat sedih dan menyesal atas kejadian yang berlaku. Ia adalah satu kemalangan bukan atas niat untuk membunuh. Satu pukulan kayu adalah tidak memadai untuk menyebabkan kematian seseorang. Baginda menjadi sangat bingung. Baginda rasa perbuatannya adalah perbuatan syaitan yang hendak mengelirukan manusia. Baginda sedar akan kesalahannya dan berdoa supaya Allah melindunginya.

"…Musa berkata: "Ini adalah perbuatan syaitan, sesungguhnya syaitan adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya)." Musa berdoa: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri kerana itu ampunilah aku". Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang." (Al-Qasas, 28: 15-16)

Penghijrahan Nabi Musa A.S. dan Perkahwinannya

Tidak lama selepas itu, berita pembunuhan itu telah tersebar luas. Para penduduk merancang untuk membunuh Nabi Musa A.S. Baginda berasa takut dan diberi petunjuk supaya berhijrah ke tempat lain. Firman Allah dalam ayat al-Quran yang bermaksud:
"Dan datanglah seorang lelaki dari hujung kota bergegas-gegas seraya berkata:

"Hai Musa, sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu, sebab itu keluarlah (dari kota ini) sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu"" (Al-Qasas, 28: 20)

Nabi Musa A.S. mengemaskan pakaiannya dan segera meninggalkan rumah Firaun pada waktu malam semasa semua orang sedang nyenyak tidur. Akhirnya baginda sampai di Madian selepas melalui perjalanan yang sangat memenatkan. Baginda berhenti berehat di suatu tempat mengambil air.

Nabi Musa A.S. melihat dua orang gadis menunggu giliran dari jauh. Kambing mereka berdiri di sebelah perigi untuk diberi minum. Nabi Musa A.S. merasakan bahawa kedua orang gadis tersebut memerlukan pertolongan. Walaupun baginda sangat letih dan lapar namun baginda ingin juga membantu mereka. Baginda menemui mereka dan bertanya sekiranya mereka memerlukan bantuan. Mereka berasa rendah diri dan tersipu-sipu malu. Mereka telah memberitahu bahawa mereka sedang menunggu binatang ternakan mereka. Mereka bimbang kambing-kambing tersebut akan lari jauh.

Jadi Nabi Musa A.S. pun membawa kambing-kambing itu ke mata air untuk meminum air. Kedua gadis itu berasa terhutang budi dengan pertolongan baginda. Mereka mengambil kambing-kambing mereka semula dan membawanya pulang ke rumah. Nabi Musa A.S. pergi berehat semula. Baginda mula berasa sangat sedih dan berdoa kepada Allah meminta pertolongan-Nya. Sementara itu, dua orang gadis itu datang kepada baginda dan berkata:

"Maka Musa memberi minum ternak itu untuk (menolong) keduanya, kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa: "Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku"" (Al-Qasas, 28:24)

Nabi Musa A.S. pulang ke rumah bersama-sama mereka. Apabila mereka memasuki rumah, baginda memperkenalkan dirinya dengan penuh adab. Sejurus selepas makan malam bersama ahli keluarga tersebut, baginda dipelawa tinggal dengan mereka. Masa berlalu dengan baik. Pada suatu hari, ketua keluarga tersebut berkata:

"Berkatalah dia (Syuaib): "Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku delapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu, maka aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu InsyaAllah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik." Dia (Musa) berkata: "Itulah (perjanjian) antara aku dan kamu. Mana saja dari kedua waktu yang ditentukan itu aku sempurnakan, maka tidak ada tuntutan tambahan atas diriku (lagi). Dan Allah adalah saksi atas apa yang kita ucapkan."" (Al-Qasas, 28: 27-28)

Berdasarkan persetujuan yang telah di buat, Nabi Musa A.S. mengahwini salah seorang daripada anak perempuan keluarga tersebut. Baginda perlu menjaga ladang dan kambing-kambing dengan sebaiknya. Nabi Musa A.S. telah berjauhan dengan keluarganya selama beberapa tahun. Baginda merindui saudara-saudara baginda dan bagindapun memulakan perjalanan dari Madian dan ditemani oleh keluarganya.

Seruan Kenabian kepada Nabi Musa A.S.

Suatu hari, Nabi Musa A.S. merentasi padang pasir dan akhirnya sampai ke sebuah gunung bernama Tur. Baginda terpandang satu cahaya yang terang dari jauh dan baginda menyangkakan ia adalah satu kawasan unggun api yang boleh memanaskan badan. Tiba-tiba terdengar satu suara dari sebelah kanan lembah. Ucapannya berbunyi:

"Sesungguhnya Aku inilah Tuhanmu, maka tanggalkanlah kedua terompahmu; sesungguhnya kamu berada di lembah yang suci, Thuwa. Dan Aku telah memilih kamu, maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan (kepadamu). Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingat Aku". (Thaaha, 20: 12-14)

Nabi Musa A.S. berasa keliru dan takut. Cahaya yang kelihatan seperti api itu, bukanlah api yang sebenarnya tetapi ia adalah cahaya kemuliaan Allah. Saat itu adalah saat Nabi Musa A.S. diberi penghormatan tertinggi dalam hidupnya.

Beberapa Mukjizat Nabi Musa A.S.

Allah telah memerintahkan Nabi Musa A.S. untuk melemparkan tongkat di tangan baginda ke tanah. Baginda pun menurut perintah tersebut dan alangkah terkejutnya baginda apabila melihat tongkat tersebut bertukar menjadi ular yang panjang lagi menakutkan. Baginda menyangkakan yang ular itu akan mematuk baginda tetapi Allah telah memberi petunjuk kepada baginda supaya jangan gentar dan disuruh pula menangkap ular tersebut. Apabila baginda menyentuh sahaja ular tersebut, ia bertukar semula menjadi kayu. Baginda amat terpegun melihat kejadian yang berlaku di hadapan matanya.

Seketika selepas itu, Allah memerintahkan Nabi Musa A.S. untuk meletakkan tangannya di bawah ketiak baginda. Apabila baginda berbuat demikian dan mengeluarkan semula tangan baginda, maka memancarlah cahaya putih daripada tangan baginda. Apabila dimasukkan semula tangan di bawah ketiak dan mengeluarkan tangan baginda semula, ia berubah menjadi seperti sediakala.

Allah Yang Maha Kuasa memberikan mukjizat-mukjizat tersebut kepada Nabi Musa A.S. supaya baginda berasa lega dan lebih yakin dengan kewujudan Allah dan kekuasaannya. Baginda akan mendapat faedah daripada mukjizat-mukjizat tersebut pada masa akan datang.

Nabi Musa A.S. menetap di Mesir Semula

Allah memerintahkan Nabi Musa A.S. pergi ke Mesir untuk menyelamatkan kaum Israel daripada Firaun dan memulihkan kaumnya yang telah mengalami keruntuhan akhlak. Nabi Musa A.S. tidak mahir dalam berdebat. Baginda sentiasa tersekat lidahnya untuk bersuara dengan fasih. Baginda meminta kebenaran daripada Allah untuk membawa saudara baginda, Nabi Harun A.S. bersamanya kerana baginda adalah seorang yang fasih berdebat. Permohonan baginda segera ditunaikan.

"Dan Kami telah menganugerahkan kepadanya sebahagian rahmat Kami, yaitu saudaranya, Harun menjadi seorang nabi" (Maryam, 19:53)

Nabi Musa A.S. Berdebat Dengan Firaun

Nabi Musa A.S. menetap di Mesir bersama-sama dengan keluarganya. Mereka pergi menemui Firaun untuk berdebat dengannya. Mereka menyampaikan mesej daripada Allah tetapi dianggap satu jenaka oleh Firaun. Namun Nabi Musa A.S. tetap tidak berputus asa dan terus menyeru. Raja dan rakyatnya tidak yakin dengan baginda dan akhirnya dalam keadaan terdesak, baginda berkata:

"Wahai Tuanku, mahukah aku tunjukkan kepadamu bahawa seruanku adalah benar." Firaun dengan senyuman mengejek tidak percaya di wajahnya. Lalu Nabi Musa A.S. melemparkan tongkat baginda ke tanah dan serta merta ia bertukar menjadi ular. Orang ramai berasa amat takut. Apabila ditangkap semula ular tersebut, ia menjadi tongkat semula. Semua orang sangat terpegun. Kemudian baginda meletakkan pula tangan di bawah ketiak baginda. Apabila baginda mengeluarkannya semula, tangan baginda menjadi bersinar dengan terang.

"Maka Musa melemparkan tongkatnya, yang tiba-tiba tongkat itu (menjadi) ular yang nyata." (Asy-Syu'ara 26: 32)

Nabi Musa A.S. Bertanding Dengan Ahli Sihir

Ketua di istana berkata yang Nabi Musa A.S. adalah amat mempesonakan. Dia mahu mengubah tanggapan rakyat. Firaun sangat risau dan bimbang jika terdapat sebilangan penduduk mengikuti ajaran Nabi Musa A.S. Oleh sebab itu dia telah mengadakan satu pertandingan antara Nabi Musa A.S. dengan para ahli sihir dari serata pelosok negeri untuk menandingi Nabi Musa A.S. Dia menjanjikan anugerah kepada sesiapa yang memenangi pertandingan tersebut.

Pada hari yang telah ditentukan, orang ramai mula berkumpul untukmenyaksikan satu pertandingan yang menarik. Semua orang tidak sabar-sabar untuk melihat persembahan yang para ahli sihir dan mukjizat Nabi Musa A.S. Pada awalnya, ahli-ahli sihir melemparkan tongkat mereka lalu ia kelihatan seperti ular dari jauh. Para penonton amat terkejut dan menghargai persembahan yang menakjubkan itu. Tidak lama selepas itu, Nabi Musa A.S. menggunakan tongkat baginda untuk menunjukkan mukjizat baginda. Ia menjadi seekor ular besar yang sangat lapar, lantas memakan ular-ular yang dijelmakan oleh ahli-ahli sihir yang lain. Semua pemerhati menjadi terpegun dan ahli-ahli sihir mula mempercayai Nabi Musa A.S. dan berkata:

"Kami beriman kepada Tuhan semesta alam, (yaitu) Tuhan Musa dan Harun." (Al-A'raf, 7: 121-122)

Megenangkan peristiwa-peristiwa dalam negeri, Firaun menjadi sangat bimbang. Dia menjadi sangat marah kerana orang-orangnya telah mula mengikuti ajaran Nabi Musa A.S. Dia mengancam mereka dengan akibat yang dasyat. Dia berkata:

"demi, sesungguhnya aku akan memotong tangan tangan dan kakimu dengan bersilang secara bertimbal balik. Kemudian sungguh-sungguh aku akan menyalib semuanya".
(Al-A'raf, 7: 124)

Penindasan Terhadap Nabi Musa A.S. Dan Pengikutnya

Firaun dan pengikutnya mula menindas pengikut-pengikut Nabi Musa A.S. Kaum Israel tetap bersabar dan mula beribadat di rumah mereka serta sentiasa berdoa kepada Allah. Mereka berkata:

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami mendapat fitnah (cubaan) dari kaum yang aniaya" (Yunus, 10: 85)

Apabila kaum Israel dalam keadaan amat tertekan dan menderita, Allah memerintahkan Nabi Musa A.S. dan para pengikut baginda meninggalkan kawasan tersebut dan berjanji akan menyelamatkan mereka. Maka mereka pun mengikuti perintah tersebut dan meninggalkan kawasan tersebut secara senyap.

Nabi Musa A.S. Meninggalkan Mesir

Semasa hari gelap, satu kumpulan kaum Israel meninggalkan Mesir. Mereka mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan mereka terlepas daripada pengawasan orang-orang Firaun. Mereka bergerak dengan pantas dan yakin bahawa mereka akan diselamatkan oleh Allah. Keesokan harinya, kawasan penduduk Israel didapati lengang. Apabila Firaun mendapat tahu kehilangan mereka, dia menjadi amat marah dan menghantar bala tenteranya untuk mengejar mereka. Dia mengarahkan mereka dibawa pulang semula. Sampainya Nabi Musa A.S. dan para pengikut baginda di tepi pantai, mereka terdengar bunyi tapak kaki kuda. Lalu mereka menjadi sangat takut dan merasakan yang mereka akan ditangkap dan dihukum oleh musuh-musuh tersebut.

Laut Terbelah Dan Firaun Tenggelam

Semasa Nabi Musa A.S. dan para pengikutnya dikejar, Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa A.S.

"Lalu Kami wahyukan kepada Musa: "Pukullah lautan itu dengan tongkatmu". Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar".
(Asy-Syu'ara, 26:63)

Air laut melambung tinggi. Dasar laut menjadi kering. Ia adalah mukjizat yang amat menakjubkan. Mereka seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat mereka. Dalam keadaan terdesak, mereka meluru ke hadapan dan Firaun juga mengejar mereka dari belakang. Namun begitu, Firaun dan para pengikutnya telah ditenggelami air laut yang bercantum dari sebelah kiri dan kanan. Terdapat ayat al-Quran yang berkaitan dengan kejadian tersebut:

"Maka Firaun dengan bala tenteranya mengejar mereka, lalu mereka ditutup oleh laut yang menenggelamkan mereka" (Thaaha, 20: 90-92)

Jasad Firaun sehingga kini masih elok bersemadi di Muzium Mesir sebagai tanda peringatan kepada manusia yang derhaka.

Apabila Nabi Musa A.S. dan seribu pengikutnya terselamat daripada Firaun. Mereka rasa amat bersyukur kepada Allah. Mereka telah menyaksikan mukjizat yang menakjubkan dan mereka sekarang hidup bebas mengikut ajaran Allah.

Nabi Musa A.S. Menerima Arahan

Allah telah memerintahkan Nabi Musa A.S. untuk pergi ke sebuah gunung untuk bertapa. Baginda berada di sana selama 40 hari. Semasa tempoh tersebut, Allah telah mewahyukan ilmu keagamaan yang banyak kepada baginda dan dikurniakan kitab yang mengandungi sepuluh perintah. Suatu hari Nabi Musa A.S. berkata:

"Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: "Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau". Tuhan berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) nescaya kamu dapat melihat-Ku". Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musapun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata: "Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman."" (Al-A'raaf, 7: 143)

Pada hari yang ditetapkan, baginda menemui pengikutnya dengan wahyu yang diterima.

Kaum Israel Menyembah Anak Lembu

Nabi Musa A.S. berasa sangat sedih apabila mengetahui sebilangan kaum baginda telah mula menyembah lembu bukannya Allah, Tuhan yang satu. Apabila saudara baginda, Nabi Harun A.S. menasihati mereka supaya kembali kepada Allah tetapi langsung tidak dihiraukan oleh mereka.

Kadangkala mereka menyiksa baginda Nabi Musa A.S. yang cuba dengan sedaya upaya untuk bangun kembali di tengah-tengah kaum Israel. Sesetengah mereka kembali ke jalan yang benar tetapi kebanyakan mereka tetap juga menyembah lembu. Nabi Musa A.S. berkata kepada kaumnya:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor sapi betina"

(Al-Baqarah, 2:67)

Kebanyakan mereka melakukannya dengan teragak-agak tetapi yang lainnya menolak. Nabi Musa A.S. tetap menyeru kepada kaumnya tentang mesej terbaru dari Tuhan.

Mukjizat Yang Lain

Tibalah satu musim kemarau. Keadaan ini menyebabkan kekurangan air dan buah-buahan serta makanan. Para penduduk mula mati kelaparan. Nabi Musa A.S. berdoa kepada Allah dan Allah menurunkan mereka bahan makanan tetapi tidak terdapat air di kawasan tersebut. Mereka menemui Nabi Musa A.S. untuk meminta pertolongan. Baginda memohon keajaiban daripada Allah maka baginda diarahkan untuk memukul tebing yang tinggi dengan tongkatnya. Nabi Musa A.S. melakukannya sambil berkata: Dengan Nama Tuhan, Allah yang Maha Kuasa. Maka terbitlah air dari tebing tersebut.

Terdapat 12 tempat pada tebing tersebut yang mengeluarkan air yang sejuk. Orang ramai terpegun dengan kejadian yang menakjubkan itu. Ayat dalam al-Quran yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu". Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air. Sungguh tiap-tiap suku telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing). Makan dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerosakan" (Al-Baqarah, 2: 60)

Kaum Israel terdiri daripada 12 cabang dari keturunan Nabi Ya'qub A.S. Jadi, setiap cabang keturunan tersebut datang untuk minum dari setiap mata air tersebut. Mereka minum dengan tenang tanpa berebut-rebut di mata air masing-masing.

Kaum Israel Mencapai Kemenangan dan Kemewahan

Selepas tinggal di gurun untuk satu tempoh masa, Nabi Musa A.S. merancang untuk berhijrah ke tanah suci Palestin Nabi Musa A.S. menghantar 12 orang lelaki untuk meninjau tempat tersebut. Selepas beberapa hari, mereka kembali dan memaklumkan bahawa di sana terdapat pepohon menghijau dan ladang yang subur. Kawasan itu juga mempunyai bekalan air yang cukup. Berita ini membuatkan semua orang ingin berhijrah ke sana. Mereka juga diberitahu yang pemilik tanah tersebut kuat dan berani. Mereka juga mempunyai tentera yang kebal.

Maka mustahil bagi mereka untuk menakluki tanah tersebut tanpa berperang. Kaum Israel menjadi sangat takut kerana mereka tidak mempunyai kekuatan dari segi ketenteraan. Nabi Musa A.S. bersama kumpulan kecil kaum Israel mahu pergi menentang orang-orang Palestin namun kebanyakan daripada mereka menolak. Sebahagiannya berkata: "Pergilah kamu dengan Tuhanmu melawan mereka. Kami akan berada di sini dan menunggu"

Selepas beberapa tahun, bilangan mereka bertambah. Akhirnya mereka dapat membina satu pasukan tentera dan cuba menakluki tanah kaya Palestin. Akhirnya mereka berjaya menjadi pemerintah bumi Palestin dan Allah mengurniakan kepada mereka kesenangan hidup di bumi tersebut.

Nabi Nuh a.s

Nabi Adam A.S. telah meninggalkan keturunannya dalam keadaan dalam keadaan sosial dan moral yang baik namun begitu akhirnya mereka mula melupakan ajaran Allah. Mereka mengambil jalan yang salah dan terlibat dalam rasuah dan kerosakan akhlak. Mereka menjadi kedekut, pengikut syaitan dan tamak haloba. Seluruh masyarakat berpecah-belah kepada beberapa bahagian. Keadaan negeri ini menyebabkan berlakunya penindasan dan ketidakadilan dalam negara.

Kedatangan Nabi Nuh A.S.

Ketika keadaan ini berlaku, Allah yang maha berkuasa berkehendakkan manusia kembali menjadi hamba yang taat kepada-Nya. Dia mengutuskan Nuh sebagai utusan-Nya untuk memulihkan semula masyarakat yang telah rosak akhlak yang tinggal di bahagian 'Iraq'. Mereka mempercayai Allah tetapi mereka juga menyukutukan-Nya dengan tuhan-tuhan ciptaan yang lain. Ahli-ahli agama yang mempercayai banyak tuhan ini mengawal sepenuhnya urusan negara. Para penduduk menawarkan diri untuk melakukan pengorbanan dengan nama tuhan-tuhan itu sebagai satu penghormatan. Mereka memperuntukkan sejumlah besar harta mereka untuk tujuan tersebut dan keadaan menjadi semakin teruk.

Nabi Nuh A.S. seperti juga nabi-nabi lain adalah seorang yang ikhlas, soleh, sabar dan boleh dipercayai. Baginda mempunyai keinginan dan keazaman yang kental untuk memulihkan umatnya. Malaikat Jibril telah menyampaikan kepada baginda ajaran daripada Allah dan diarahkan untuk memulihkan umatnya daripada pengaruh syaitan. Nabi Nuh tetap menyeru supaya beriman kepada Allah dan menunjukkan mereka jalan untuk menyembah Tuhan yang satu dan menasihati supaya tidak melakukan kejahatan.
"Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya lalu ia berkata:

"Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-sekali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya" Sesungguhnya (kalau kamu tidak menyembah Allah) aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat). Pemuka-pemuka dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami memandang kamu berada dalam kesesatan yang nyata", Nuh menjawab "Hai kaumku, tak ada padaku kesesatan sedikitpun tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku sampaikan kepadamu amanat-amant Tuhanku dan aku memberi nasihat kepadamu dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui " ". (Al-A'raaf, 7:59-62)

Sekali lagi dalam ayat Al-Quran ada menyatakan tentang amaran Nabi Nuh dengan mengumumkan:

"Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya peringatan sebelum dating kepadanya azab yang pedih", Nuh berkata: "Hai kaumku, sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan kepada kamu iaitu) sembahlah olehmu Allah, bertakwalah kepada-Nya dan taatlah kepadaku, necaya Allah akan mengampuni sebahagian dosa-dosamu dan menangguhkan kamu) sampai kepada waktu yang ditentukan. Sesungguhnya ketetapan Allah apabila telah datang tidak dapat ditangguhkan, kalau kamu mengetahui " (Nuh, 71: 1-4)

Nabi Nuh Ditentang

Kebanyakan penduduk tidak mempercayai Nabi Nuh. Mereka memperbodohkan baginda dan mencemuhnya sebagai orang gila. Mereka menutup telinga apabila disampaikan kepada mereka seruan Allah. Mereka tidak berganjak dari kejahilan mereka dan dengan sombongnya memandang hina nasihatnya supaya berbuat baik. Kaum tersebut sangat degil dan dipengaruhi oleh para ahli agama yang menyebabkan mereka langsung tidak menghiraukan seruan Allah dan menambahkan kebencian dalam diri mereka. Akhirnya Nabi Nuh A.S. telah menangis mengadu kepada Allah.

"Nuh berkata: "Ya Tuhan, janganlah Engkau biarkan seorangpun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambamu, dan mereka akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi kafir. Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan"" (Nuh, 71: 26-28)

Persiapan Bahtera

Seterusnya Allah telah membalas doa Nabi Nuh A.S. dengan memerintahkan baginda membina sebuah bahtera. Nabi Nuh A.S. mengetahui bahawa Allah telah merancang menenggelamkan orang-orang yang jahil dan menolak arahan Allah. Oleh sebab itu, Nabi Nuh A.S. mula membina bahtera dan dibantu oleh para pengikutnya dari pagi hingga ke petang. Selepas bahtera telah separuh siap, orang-orang yang tidak beriman tersebut mengetawakan mereka dan mengatakan Nabi Nuh dan pengikutnya gila.

"Dan mulailah Nuh membuat bahtera. Dan setiap kali pemimpin kaumnya berjalan melewati Nuh, mereka mengejeknya. Berkatalah Nuh: "Jika kamu megejek kami, maka sesungguhnya kami (pun) mengejekmu sebagaimana kamu sekalian mengejek (kami)"" (Huud, 11: 38)

Bala Melanda

Apabila bahtera yang besar telah siap, langit menjadi mendung. Hujan mula turun dengan lebatnya. Sungai-sungai dilimpahi air. Air memenuhi merata tempat. Cahaya kilat dan guruh membuatkan semua penduduk berasa takut dan gentar kecuali Nabi Nuh dan para pengikutnya. Dalam Al-Quran ada menerangkan keadaan yang dasyat tersebut.

"Maka kami bukalah pintu-pintu langit dengan (menurunkan) air yang tercurah. Dan kami jadikan bumi jadikan bumi memancarkan mata air - mata air maka bertemulah air-air itu untuk satu urusan yang sungguh telah ditetapkan " (Al-Qamar, 54: 11-12)

Nabi Nuh A.S. mengajak keluarga dan para pengikutnya untuk menaiki sampan. Mereka berebut-rebut datang ke bahtera. Terdapat tempat yang istimewa untuk semua makhluk termasuk manusia dan binatang. Bahtera belayar di tengah gelombang yang menggunung sementara arus meningkat laju dan memenuhi rumah-rumah melalui tingkap dan pintu. Banyak rumah yang runtuh menyembah bumi. Setelah mereka cuba berenang sedaya upaya untuk menyelamatkan diri. Anak lelaki Nabi Nuh A.S. telah terpisah daripada baginda kerana tidak mahu beriman kepada Allah. Nabi Nuh A.S. berdoa kepada Allah dan berkata.

"Dan Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata kepada Tuhannya sambil berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang sebenar. Dan Engkau adalah Hakim yang seadil-adilnya" Allah berfirman: "Hai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk dalam keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan), sesungguhnya (perbuatannya) perbuatan yang tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada-ku sesuatu yang kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikat)Nya. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang tidak berpengetahuan " " (Huud, 11: 45-46)

Sementara itu, air naik semakin tinggi. Seluruh kawasan mengalami banjir dan orang-orang yang tidak beriman tenggelam. Nabi Nuh A. S. dan pengikutnya selamat dalam bahtera dan terapung tanpa digugat oleh gelombang besar. Akhirnya hujan berhenti, air mula surut dan langit kembali cerah.

Nabi Nuh A. S. Dan Pengikutnya Selamat

Nabi Nuh A.S. dan para pengikutnya selamat sampai di suatu tempat yang sesuai. Mereka telah membina rumah-rumah dan bekerja keras membina hidup baru. Generasi seterusnya yang dilahirkan oleh orang-orang yang selamat ini termasuk dalam manusia yang takutkan Allah. Mereka menyembah Allah yang satu dan berkelakuan seperti yang diperintahkan oleh Allah. Nabi Nuh A.S. hidup kira-kira selama 950 tahun. Selepas peristiwa yang dasyat itu, ada di kalangan generasi yang terselamat kadangkala melakukan dosa dan lalai dalam perlakuan.

Nabi Ilyas a.s

Selepas kematian Nabi Sulaiman A.S., kerajaan telah mengalami perpecahan. Pengaruh syaitan telah berleluasa. Manusia yang beragama diejek-ejek. Undang-undang Somaria telah membunuh kebanyakan golongan yang mengetahui dan mengikuti akidah yang sebenar. Pengaruh kejahatan menjadi semakin buruk dan Allah telah menghantar Nabi Ilyas A.S. untuk memulihkan manusia pada zaman pemerintahan Raja Ahab dari Israil. Baginda berusaha berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan manusia daripada mempercayai banyak tuhan dan melarang mereka menyembah Tyrian Bal.

Baginda juga menasihati manusia untuk menyembah Allah dan mengelakkan diri daripada melakukan kejahatan. Apabila usahanya tidak dihiraukan dan tidak membuahkan hasil, baginda tiba-tiba muncul sebeum raja dan tukang tiliknya memberitahu yang arus deras dan kebuluran akan melanda negeri tersebut. Baginda juga memberitahu yang Tyrian Bal tidak mempunyai kuasa untuk menahan bencana tersebut.

Para penduduk tidak mengendahkan amarannya dan tidak mengubah kepercayaan mereka. Kenabian Nabi Ilyas akhirnya terbukti benar dan seluruh negeri dilanda banjir besar dan rakyat mengalami kebuluran. Selepas dua tahun, Nabi Ilyas memohon Allah mengurniakan belas kasihan dan keampunan-Nya kepada penduduk yang kebuluran itu. Mereka telah mengakui kekuasaan Allah dan berasa sangat menyesal.

Sejurus selepas arus deras berhenti dan Allah telah menarik balik sumpahannya, Allah telah menyuruhnya memanggil al-Yas'a menggantikannya. Baginda melaksanakan perintah Allah dengan penuh ketaatan dan hilang secara misteri. Terdapat satu petikan dalam ayat al-Quran yang bermaksud:

" Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa dan Zulkifli. Semuanya termasuk orang-orang yang paling baik" (Shaad, 28: 48) .

Nabi Dawud a.s

Nabi Dawud a.s. berasal dari Bani Israil, keturunan Yahudza bin Nabi Yaakub a.s. Nama baginda telah disebut sebanyak 16 kali dalam al-Quran. Baginda adalah nabi dan raja yang mempunyai kerajaan yang diperturunkan kepada puteranya Sulaiman a.s. Mereka dikurniakan kenabian dan kurniaan kebaikan dunia dan akhirat.

"...dan Allah telah memberikan kerajaan dan hikmah kepada Dawud serta mengajarkan apa-apa yang dikehendaki-Nya" (Al-Baqarah, 2: 251)

Nama sebenar baginda ialah Dawud bin Isya bin 'Uwaid. Baginda juga adalah seorang rasul yang dikurniakan dengan kitab samawi iaitu Zabur. Allah telah berfirman yang bermaksud:

"Dan Kami berikan Zabur kepada Dawud" (An-nisa', 4: 163)

Nabi Dawud bersama-sama Thalut

Thalut dilantik menjadi raja kepada Bani Israel kerana mempunyai tubuh yang perkasa dan ilmu yang luas. Namun begitu, penduduk Bani Israel merasakan bahawa beliau tidak layak untuk memegang kuasa tersebut.

Nabi Dawud telah diundang ke istana dan tinggal bersama Thalut kerana raja tersebut begitu tertarik dengan bakat seni yang ada pada baginda. Baginda akan selalu bersama Thalut di istana dan berulang alik menemui bapa baginda untuk menolongnya mengembala kambing.

Nabi Dawud a.s. Menentang Jalut

Pada suatu ketika, terjadi satu peperangan antara rakyat Israel dan Palestin. Tentera Palestin telah dipimpin oleh Jalut, pahlawan yang gagah perkasa tetapi sangat kejam. Maka Thalut pun memilih pasukan yang kuat di kalangan tenteranya untuk menentang Jalut. Nabi Dawud a.s. telah turut serta dalam peperangan tersebut.

Semasa perang berlaku, Jalut telah meminta untuk diadakan pertarungan satu lawan satu. Dia dengan angkuhnya mara ke hadapan dan mencabar musuhnya di pihak Nabi Dawud. Lalu Nabi Dawud a.s. menyambut cabaran tersebut namun diejek kembali oleh Jalut yang merasakan Nabi Dawud a.s. tidak setanding dengannya. Baginda juga dinasihati oleh Thalut supaya tidak bertarung dengan pahlawan yang berpengalaman tersebut. Namun Nabi Dawud a.s. tetap dengan keputusan baginda maka bertarunglah keduanya. Baginda berdoa sebelum bertarung yang bermaksud:

"Ya Tuhan kami, tuangkanlah kesabaran ke atas diri kami, dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir." (Al-Baqarah, 2: 250)

Dengan izin Allah Nabi Dawud a.s. telah berjaya mengalahkan Jalut walaupun bertubuh kecil berbanding Jalut. Tentera Palestin akhirnya kalah dalam pertempuran dan lari bertempiaran.

Nabi Dawud a.s. menjadi Raja

Nabi Dawud a.s. menjadi terkenal di kalangan Bani Israel selepas kejadian tersebut. Baginda telah mendapat anugerah daripada Thalut dan dikahwinkan dengan puteri baginda dan dilantik sebagai ketua Komander angkatan tentera. Namun tidak lama selepas itu, Thalut berasa iri hati dengan pengaruh Nabi Dawud a.s. Salah seorang anak lelaki Thalut mempunyai pekerti yang baik telah memaklumkan baginda tentang perkara tersebut.

Selepas kematian Thalut, urusan pemerintahan dikuasai oleh Nabi Dawud a.s. dan seterusnya menjadi raja kepada Bani Israel. Baginda telah mentadbir negara dengan berkesan dan menakluki banyak kawasan. Para penduduk mendapat kemakmuran semasa pemerintahan baginda yang berhati mulia, adil dan bertakwa. Rakyatnya juga menyembah Tuhan yang satu yang mengikut pimpinan yang sebenar.

Penurunan Kitab Zabur

Allah telah menurunkan kitab Zabur kepada Nabi Dawud a.s. Kitab ini mengandungi ajaran untuk memimpin kaum Bani Israel. Allah telah berfirman yang bermaksud:

"...Dan kami berikan Zabur kepada Dawud" (An-Nisaa', 4: 163)

Rakyat akan terpegun apabila mendengar Nabi Dawud a.s. membaca ayat-ayat daripada Zabur dengan suara yang amat merdu. Semua kan mengelilinginya termasuk binatang-bintang di muka bumi ini.

Selain itu, Allah juga telah mengurniakan keistimewaan untuk menundukkan gunung ganang supaya bertasbih bersama-samanya dengan bahasa yang tidak difahami oleh manusia biasa. Pengetahuan dan kelebihan itu juga dapat dipraktikkan terhadap burung-burung untuk turut serta bersamanya.

"Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Dawud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): "Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Dawud", " (Saba', 34: 10)

"Sesungguhnya Kami tundukkan gunung-gunung kepadanya, semuanya tasbih pada petang-petang dan pagi-pagi, dan (Kami tundukkan pula) burung-burung yang dikumpulkan, masing-masing banyak kembali kepada Allah." (Shaad, 38: 18-19)

Nabi Dawud a.s. sebagai tukang besi

Nabi Dawud a.s. adalah seorang tukang besi yang mahir. Baginda berupaya melembutkan besi yang keras dan menghasilkan pelbagai bentuk barangan daripadanya. Baginda melakukannya tanpa memakai api atau sebarang alat. Besi yang dilembutkan ada yang dijadikan baju besi yang sangat elok buatannya. Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan telah Kami ajarkan kepada Dawud membuat baju besi untuk kamu, guna memelihara kamu dalam peperanganmu; Maka hendaklah kamu bersyukur (kepada Allah)." (Al-Anbiya, 21: 80)

"...dan Kami telah melunakkan besi untuknya." (Saba', 34: 10)

Nabi Dawud a.s. adalah seorang pemimpin yang begitu adil dan menggunakan masa sehariannya dengan sempurna. Baginda memperuntukkan hari-hari khusus untuk beribadat, bertugas sebagai hakim, memberi pengajaran kepada kaumnya dan untuk kepentingan peribadi.

Kematian Nabi Dawud a.s.

Nabi Dawud a.s.meninggal dunia pada usia 70 tahun dan dikebumikan di Jurusalem.

Nabi Yahya a.s

Yahya adalah anak kepada Nabi Zakaria A.S. Kelahirannya merupakan keajaiban kerana baginda dilahirkan oleh seorang wanita yang telah lama didapati mandul dan bapa yang sudah tua. Dalam keadaan yang hampir berputus asa, Nabi Zakaria A.S. yang sudah berumur, berdoa kepada Allah s.w.t. supaya mengurniakan seorang anak lelaki yang boleh menjadi pewaris, penyampai ajaran agama Allah. Doanya telah dimakbulkan serta merta.

"Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia." (Maryam, 19: 7)

Nabi Yahya A.S. telah diberi tugas yang mulia iaitu memimpin manusia ke jalan kebenaran. Baginda mengajak orang lain untuk percaya dengan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Baginda hidup dalam kelompok masyarakat yang suka merendah-rendahkan orang lain. Baginda seorang yang tidak sombong dan selalu menghabiskan sebahagian besar kehidupannya di dalam hutan. Baginda juga seorang yang suci dan begitu mentaati kedua orang tuanya. Firman Allah yang bermaksud:

"Hai Yahya, ambillah Al-kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih kanak-kanak dan rasa belas kasihan yang mendalam dan sisi kami dan kesucian (dari dosa). Dan ia adalah seorang yang bertakwa, dan banyak berbakti kepada kedua orang tuanya, dan bukanlah ia orang yang sombong lagi durhaka. Kesejahteraan atas dirinya pada hari ia dilahirkan, dan pada hari ia meninggal dan pada hari ia dibangkitkan hidup kembali" (Maryam, 19: 12-15)

Nabi Yahya A.S. berpindah ke padang pasir Judea. Baginda berpakaian jubah yang diperbuat daripada bulu unta. Baginda hanya makan makanan ringkas dan madu liar. Khutbah baginda meninggalkan kesan yang sangat hebat dan ramai orang datang berduyun untuk mendengar mesej yang disampaikan. Seluruh penduduk di kawasan Jordan telah memeluk agama Allah dan mengikut ajaran baginda.

Nabi Yahya A.S. adalah nabi yang terdahulu daripada Nabi Isa A.S. Keduanya adalah saudara sepupu yang sezaman. Baginda saat taat melaksanakan misinya sehingga ke akhir hayat. Seorang pemertintah Roman,Herod Antipas adalah pemerintah Galilee. Dia menjalinkan hubungan sulit dengan Herodias, isteri kepada saudara lelakinya Herod Philip. Nabi Yahya A.S. telah menasihatinya supaya meninggalkan perbuatan tersebut namun tidak dihiraukan oleh raja tersebut.

Suatu hari, Herod Antipas telah mengadakan satu majlis keramaian. Herodias memberi kebenaran kepada anaknya, Salome untuk menari dalam majlis tersebut. Raja tersebut amat tertarik dengan persembahan gadis tersebut. Maka dia memberitahu bahawa dia akan menunaikan apa sahaja permintaan Salome. Dengan segera, Salome meminta dibawakan kepadanya kepala Nabi Yahya A.S. Herod terpaksa menunaikan janjinya kerana tidak dapat memikirkan alternatif lain. Jadi, Nabi Yahya A.S. dipancung atas hasutan ibu Salome, gadis yang dicintainya. Makam baginda ditempatkan di Masjid Umayyah di Syria